Penguasaan Kosa Kata Penulisan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Agama Terpilih Menggunakan Aplikasi Linktr.ee
DOI:
https://doi.org/10.47254/insaniah.v9i2.2253Keywords:
Literasi, e-pembelajaran, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), Pengajaran dan Pembelajaran, Bahasa MelayuAbstract
Penguasaan kosa kata merupakan elemen asas dalam penulisan karangan kerana keupayaan pelajar menyampaikan idea secara jelas dan berkesan sangat bergantung pada perbendaharaan kata yang dimiliki. Dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penulisan karangan menjadi komponen penting yang mencerminkan tahap penguasaan Bahasa Melayu pelajar. Namun demikian, kelemahan dalam penguasaan kepelbagaian kosa kata dikenal pasti sebagai antara masalah utama pelajar sekolah menengah. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis penggunaan kosa kata dalam penulisan karangan pelajar Tingkatan 4 serta mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi kekurangan penguasaan kosa kata melalui pemanfaatan pendigitalan selari dengan Revolusi Industri 4.0. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan pemilihan sampel secara rawak mudah dan dilaksanakan di Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Data kajian dianalisis menggunakan kaedah analisis teks terhadap 34 buah karangan pelajar yang dihasilkan melalui penggunaan laman web Linktr.ee: Kosa Kata 4U. Dapatan kajian menunjukkan pelajar cenderung melakukan pengulangan kosa kata, penggunaan peribahasa yang terhad dan berulang, ketidaktepatan laras bahasa serta penggunaan perkataan lewah. Selain itu, lima faktor utama yang mempengaruhi kekurangan kosa kata dikenal pasti, iaitu tahap penguasaan kosa kata yang lemah, kekurangan bahan bacaan, percampuran kod bahasa, keterbatasan penggunaan peribahasa dan kurang kesedaran terhadap sumber rujukan digital. Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa penggunaan platform digital berpotensi meningkatkan penguasaan kosa kata pelajar serta memberi implikasi signifikan terhadap pembangunan pedagogi dan kurikulum Bahasa Melayu.
