Komunikasi Interpersonal Asas dalam Pembangunan Pelan Strategik Komunikasi Inklusif di Universiti Islam Selangor
DOI:
https://doi.org/10.47254/insaniah.v9i2.1916Keywords:
Komunikasi inklusif, Pelan Strategik, OKU, Pendidikan Tinggi, Universiti Islam SelangorAbstract
Komunikasi interpersonal dalam pendidikan tinggi merupakan asas penting untuk memastikan keterlibatan bermakna pelajar Orang Kurang Upaya (OKU). Kajian ini meneliti keperluan pembangunan pelan strategik komunikasi inklusif di Universiti Islam Selangor (UIS) dengan menekankan peranan komunikasi interpersonal sebagai landasan teori dan praktikal. Kajian ini menggunakan pendekatan berkaedah campuran dan temu bual separa struktur sebagai data rintis untuk mengenal pasti keperluan reka bentuk pelan strategik komunikasi inklusif di UIS. Daripada populasi 617, sejumlah 52 responden (n = 52) telah diperoleh dan dianalisis. Walaupun bilangan ini tidak mencapai saiz sampel ideal untuk generalisasi, data ini digunakan sebagai data rintis untuk mengenal pasti corak awal dan merangka intervensi lanjut. Selain itu, pengkaji turut menyokong dapatan kajian dengan melakukan temu bual mendalam bersama 8 orang pelajar OKU UIS daripada pelbagai kategori. Hasil dapatan menunjukkan tahap interaksi dengan pelajar OKU sederhana positif (Min = 3.63, SP = 0.43), namun aspek sokongan prasarana mesra OKU masih rendah (Min = 2.60, SP = 0.69). Manakala hasil dapatan temu bual menegaskan pentingnya komunikasi empatik, saluran maklumat mesra akses, dan sokongan rakan sebaya sebagai faktor penentu kepada keberkesanan inklusif. Keseluruhan membuktikan komunikasi interpersonal berasaskan empati, keterbukaan, dan mekanisme dua hala dapat mengurangkan jurang pengalaman serta meningkatkan penyertaan pelajar OKU dalam ekosistem kampus. Dari sudut teori komunikasi interpersonel, kajian ini menegaskan bahawa medium pertukaran maklumat menjadi instrumen sosial untuk membina kepercayaan, sokongan emosi, dan rasa kebersamaan. Kajian ini mencadangankan pembinaan modul latihan komunikasi inklusif, penambahbaikan saluran maklumat, serta pengukuhan dasar universiti yang lebih responsif. Kesimpulannya, pembangunan pelan strategik komunikasi inklusif berasaskan komunikasi interpersonal amat penting bagi memastikan persekitaran pendidikan adil, empatik, dan sejajar dengan prinsip rahmah serta ihsan dalam pendidikan.

